Friday 18 September 2015

Minggu-minggu awal kelahiran (part 1)

Bismillahirrahmanirrahim

Ada banyak cerita yang Mami nak Haziq tau macam mana keadaan Haziq sebaik sahaja dia dilahirkan dan sepanjang Mami dalam pantang.

Haziq lahir tepat pada hari jangkaan menurut scan yang terakhir, secara emergency ceaser. Dek kerana Haziq dah lemas, Haziq langsung tak menangis semasa dilahirkan sehingga Mami tertanya-tanya "baby dah keluar atau belum?".

Haziq juga mengalami komplikasi Hypoglycemia asbab Mami menghidap GDM (diabetic)  semasa mengandungkannya dan atas alasan inilah Mami dan Haziq terpaksa berpisah untuk 2 hari. Mami di wad postnatal, manakala Haziq diletak di bawah pemantauan wad paediatric yang mana kedua-dua wad ni terletak di blok yang berbeza...Huhuhuhu..sedih tau..

Selepas Mami ditolak keluar dari OT masuk ke wad, Mami satu-satunya ibu yang 'takde' baby bersama kat sebelah katil. Pilunya hati Mami Allah saja yang Maha Tahu.. Sebelum melahirkan Haziq, Mami selalu berangan..bila Haziq dah keluar, Haziq akan diletakkan di atas dada Mami dan Haziq akan mula 'berkenalan' dengan 'sumber susunya'. Lepas tu bila di wad, Haziq akan diletakkan di atas katil baby bersebelahan katil Mami. Haziq akan mendapat susu ibu secara ekslusif selama 6 bulan dan akan terus menyusu dengan susu ibu sehingga sekurang-kurangnya 2 tahun. Namun, bukan selalu apa yang kita rencanakan itu yang akan terjadi kerana kita hanya mampu merancang tapi yang menentukan Allah SWT jua. So, nak kata apa?? redho sajalah...


Hari ke-3, akhirnya Mami discharged ward dan buat pertama kalinya kita dapat bersama-sama dalam ertikata yang sebenar. Sejak Mami berpindah ke wad paediatric, baru Mami tau, rupa-rupanya Haziq disusukan setiap 3 jam dengan susu formula sebanyak 30ml @ 1oz setiap sesi. Ya Allah...patutlah setiap kali masa melawat, Haziq langsung taknak menyusu dengan Mami setiap kali Mami cuba untuk susukan. Dah sangat-sangat kekenyangan rupa-rupanya dia.

30ml untuk perut baby yang baru lahir adalah terlalu banyak kerana apa yang Mami tahu, perut baby baru lahir hanya perlukan beberapa ml susu saja.. Apa pun, Mami cuma berbaik sangka kerana sudah tentulah sebanyak mana susu yang diberikan kepada Haziq telah dikaji selidik oleh mereka yang bijak pandai dan bukan sekadar memandai-mandai..


Biarpun kita kembali bersama, Haziq masih belum dapat menyusu dengan Mami dengan ertikata yang sebenar. Setiapkali sampai masa untuk menyusu, Mami berusaha untuk susukan Haziq, tapi Haziq menolak, menangis beriya-iya sampai semua orang datang tengok. Haziq langsung "tak berminat' nak latch. Mami tau, Mami masih 'belum pandai' dan masih kekok dengan kaedah penyusuan susu ibu. Maklumlah, ibu baru. Mami stress campur sedih. Sudahlah sakit luka operation, sedih melihat keadaan anak, tambah sedih bila 'gagal' untuk susukan anak. Sudahnya, Mami terpaksa gunakan pam untuk memerah keluar susu. Alhamdulillah, biarpun tidak secara direct latching, sekurang-kurangnya Haziq dapat merasa golden drop yang sangat berkhasiat tu. Alhamdulillah...

Hari ke-5, Haziq akhirnya discharged dari wad. Mami bertekad untuk memberikan Haziq 100% susu ibu. Mami nak tebus kembali hari-hari terawal Haziq yang terpaksa disusukan dengan susu formula. Mami positifkan diri. Insya Allah, Haziq akan 'pandai' menyusu dengan Mami.


 Ketara sungguh perbezaan tubuh Haziq (5 hari) dan Kakyong Balqis (3 bulan).


Malam pertama Haziq di rumah, Haziq mula meraung-raung lapar susu. Mami terus berusaha memerah keluar susu, namun masih terlalu sikit untuk mengenyangkan Haziq. Mami hilang punca bila mendengar tangisan Haziq yang terlalu mendayu-dayu, meruntun perasaan seorang ibu. Akhirnya Mami terpaksa mengalah. Mami takkan biarkan anak Mami kelaparan. Mami minta Abi belikan susu formula untuk Haziq.

Ketika kedai hampir tutup, Abi yang kebuntuan akhirnya berjaya membeli sekotak susu untuk Haziq. Susu Dumex Dulac. Sebak sangat melihat Haziq yang kelaparan menyedut susu sehingga habis 1oz dan terus terlena. Ya Allah, pilunya hati Mami ketika itu. Mami terasa seperti telah 'gagal' menjadi seorang ibu.

Hari-hari terus berlalu. Haziq masih belum 'pandai' menyusu dengan Mami. Tapi Mami masih tak jemu 'mengajar' Haziq untuk latching. Setiap kali 'sesi belajar' setiap kali itulah akan bergema suara tangisan Haziq yang seolah-olah begitu marah. Menangis semahunya sambil menggeleng-gelengkan kepala tanda protes. Mami bersabar kerana Mami tau satu hari nanti Haziq pasti akan pandai menyusu dengan Mami kerana Mami percaya fitrah seorang bayi dilahirkan dengan naluri pandai menyusu.

Hari ke-17. Ketika semua orang sedang bersiap untuk bersolat Maghrib, seperti biasa Mami akan meriba Haziq sambil berzikir membacakan potongan ayat al-Quran memohon perlindungan Allah daripada sebarang gangguan makhluk halus. Sambil berzikir, Mami meneruskan 'sesi pembelajaran' Haziq dan tanpa disangka-sangka akhirnya Haziq telah 'lulus ujian'. Haziq dah pandai latch!! Mami sangat gembira, teruja sehingga mengalirkan air mata. Ya Allah, Alhamdulillah!! Malam itu buat pertama kalinya Mami rasa terlalu bahagia..terasa benar-benar menjadi seorang ibu!!
.... bersambung

Friday 11 September 2015

Senyuman pertama!!

Bismillahirrahmanirrahim

Sesiapa saja yang baru bergelar ibu bapa pasti akan teruja untuk melihat perkembangan/milestones anaknya. Mami jugatidak terkecuali. Seboleh-bolehnya Mami ingin sekali menjadi orang yang pertama yang akan melihat tahap pencapaian Haziq. Hati ini akan berasa begitu jeles sekali jika orang lain yang dapat lihat dulu 'kepandaian' anak Mami ni.
Errrr...ibu-ibu yang lain macam ni ke? Oh..Mami dah mula melalut.. Ok..sebelum bertambah merapu..jom back to the main topic..

Haziq mula tersenyum pada pagi 25 Jan 2012 dan Mami sempat merakamkan senyumannya yang pertama itu..Alhamdulillah. Terasa macam sedang bermimpi melihat dia tersenyum begitu. Lebih menarik lagi, 25 Januari adalah hari anniversary Mami & Abi..Maka, berganda-gandalah kegembiraanya..

Semoga senyum ini akan terus terukir selamanya...

Friday 4 September 2015

7 hari selepas kelahiran

Antara sunnah menyambut kelahiran anak adalah dengan memberi nama yang baik-baik. Kerana apa? Kerana nama itu adalah doa. 

Para 'alim Ulama' pernah berkata,"Kuniyah" atau nama panggilan/gelaran juga akan mendatangkan kesan yang besar kepada empunya nama. Sebab itulah kita kena elakkan diri daripada memanggil sesiapa sahaja (terutamanya anak-anak kita) dengan nama panggilan yang bermaksud tidak elok atau langsung tiada maksud. Contoh, nama diberi "MUHAMMAD", tapi dipanggil dengan gelaran "MAT". Kalau disemak di dalam kamus Bahasa Arab, "MAT" ertinya "MATI" Aduhai..bayangkan bila si ibu & ayah yang memanggil anaknya yang bernama Muhammad itu dengan gelaran Mat, maka secara tak langsung mereka mendoakan anak mereka MATI!! Wana'udzubillahimindzaalik!!

Banyak Hadith Nabi membincangkan isu nama ini. Antaranya, sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasa'ie, daripada Abu Wahb al-Jusyami r.a bahawa Nabi SAW bersabda, "Namakan anak-anakmu dengan nama-nama para nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah 'Abdullah' dan 'Abdurrahman', dan nama yang paling benar adalah 'Harith' dan 'Hammam', sedangkan nama yang paling buruk adalah 'Harb' dan 'Murrah'.."

Berbekalkan ilmu yang sedikit ini, maka Mami dan Abi bersepakat menamakan anakanda kami yang pertama ini dengan nama MUHAMMAD NIDHAL HAZIQ yang membawa maksud YANG TERPUJI, PERJUANGAN PINTAR/BIJAKSANA. Semoga nama yang dipilih ini menjadi doa dan harapan kami berdua untuk melihat Haziq menjadi seorang pejuang agama yang bijak pandai..in sya Allah..



Kami juga turut mencukur licin rambut Haziq pada hari ke-7 demi meraikan sunnah Nabi SAW. Ini adalah simbolik kepada permulaan kehidupan Haziq sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baru yang lebih sihat. Tetapi, ada seperkara yang kami terlepas pandang. Rambut Haziq sepatutnya dikumpulkan, ditimbang dan disedekahkan kepada fakir miskin nilai perak seberat timbangan rambutnya. Ntah macam mana kami boleh terlupakan hal ini. Iyelah, masa Haziq dibotakkan, Mami sedang berurut. Abi pulak sibuk buat itu ini. Akhirnya terlupa. Jujurnya Mami rasa ralat sangat. Tapi perkara dah berlaku, dah tak boleh nak ubah. Pasrah sajalah. Insya Allah untuk MNH#2 dan seterusnya nanti akan ditebus rasa ralat ini..
 
Haziq sebelum dibotakkan. Lebat rambutnya, hitam berkilat!!
Opah & Atok sedang 'memproses' kepala Haziq..lena sepanjang sesi pembotakan
Dah botak!!! Muka 'baby girl' tetap tak hilang!!
 Ini hanya sebahagian perkara sunnah yang kami lakukan sempena kelahiran Haziq hari ke-7. Aqiqah kami terpaksa tangguhkan atas sebab-sebab yang tertentu. Sungguhpun terlewat, Alhamdulillah kami dapat sempurnakan Aqiqah untuk Haziq pada usianya 9 bulan, pada Hari Raya Korban tahun itu.
 
Satu lagi sunnah yang tertangguh sehingga kini...BERKHATAN.. ni kena tunggu Haziq besar sikitlah alang-alang dah tak khatankan dia awal-awal lepas lahir.

Wednesday 2 September 2015

Kelahiran yang dinanti..

1 Januari 2012 (7 Safar 1433H)
Ahad @ 4.02pm
Emergency C-Sect due to the prolonged labour or a failure to progress (dystocia) & fetal distress
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)


Mengamalkan sunnah Nabi SAW, di'tahnik'kan oleh Pak Long dengan air Zam-Zam & buah tamar..
Runtun hati Mami melihat kamu..Hypoglycaemia (low blood sugar) sebaik dilahirkan & jaundice developed pada hari ke-2.
Phototherapy..


Hari ke-2 akhirnya Mami dapat bersama-sama kamu kerana sebaik dilahirkan kamu mengalami komplikasi Hypoglycaemia, terpaksa ditempatkan di NICU dan kerana itu kita terpisah untuk sementara.

Dengan Abi...
Hari ke-4..tahap glucose dalam darah dah mula stabil. Officially drip off..Alhamdulillah

Hari ke-5 discharged from ward..yeay..dah boleh balik rumah!!!
umbilical cord (tali pusat) pun turut gugur semasa Mami sedang bersiap-siap nak balik rumah..cepat betul!!







Penantian berakhir..Terima kasih Allah!!



Alam rumahtangga sering dibayangi dengan kehidupan yang penuh dengan warna-warni yang dikelilingi dengan ZURIAT, Anugerah Teristimewa. Namun, bukan semua pasangan di dunia ini mampu untuk memiliki zuriat di awal perkahwinan sehingga ada yang terpaksa menanti dan menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya demi mendapatkan seorang penyambung kasih bukti cinta yang terbina selama itu.
Sesungguhnya ujian kehidupan berumahtangga tanpa zuriat ini sangat besar dan bukan calang-calang orang yang mampu untuk menghadapinya kerana hanya insan-insan terpilih sahaja yang tahu bagaimana perasaan itu.

Saya dan suami adalah di antara insan-insan yang terpilih itu dan kami telah mengharungi detik-detik pahit-manis dan jerih-payah berTTC (trying to conceive) itu selama 2 tahun++. Ya, mungkin tidak terlalu lama berbanding orang lain yang terpaksa menanti lebih lama. Tetapi, tempoh 2 tahun yang dilalui itu sudah cukup untuk mengajar kami erti sabar, tidak putus asa, malah semakin menyemarakkan lagi rasa cinta di antara kami..Alhamdulillah.

UPT pertama yang positif ~ petanda awal kewujudan seorang MNH di dalam rahim Mami. Alhamdulillah..penantian Mami & Abi selama 26 bulan.



Mami di PPUM, sehari sebelum zuriat kami MNH#1 lahir melihat dunia.
Biar termengah membawa perut yang membusung, langsung tidak sedikit pun seorang ibu merasa tersiksa. Malah berasa cukup bertuah dengan pengalaman ini. TERIMA KASIH ALLAH!!